Saturday, July 29, 2017

10 TIPS MEMILIH PEGUAM HARTANAH TERBAIK


Sebagaimana yang dijanjikan, disini saya kongsikan 10 Tips untuk memilih peguam hartanah terbaik bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa kepada peguam yang tidak bertanggungjawab.

1. Apabila anda direkemen oleh rakan-rakan atau ahli keluarga anda terhadap seseorang peguam, jangan terus percaya dan pegang bulat bulat dengan rekemendasi tersebut.
Sebaliknya ambil lah masa untuk anda mengenali peguam tersebut secara peribadi. Sebaik baiknya cubalah berjumpa secara berhadapan dengan peguam yang direkemen tersebut. Tak cukup setakat berwasap sahaja. Pandangan rakan anda mungkin tidak sama dengan pandangan anda terhadap seseorang.

2. Kalau boleh elakkan memilih peguam yang mengendalikan terlalu banyak kes dalam satu-satu masa. Bimbang- bimbang mereka tidak sempat beri tumpuan terhadap kes anda.
Dan dibimbangi juga apabila terlalu banyak kes yang mereka kendalikan, peluang untuk mereka menyeleweng itu makin besar.


3. Elakkan memilih peguam yang terlalu banyak sangat buat bisnes sampingan dalam satu-satu masa. Pendek kata bukan setakat buat bisnes firma guaman sahaja, semua bisnes lain termasuk jual belacan pun dia buat.
Bukan apa bimbang bimbang kalau mereka tak cukup modal, duit anak guam jadi mangsa untuk mereka rolling buat modal bisnes.

4. Elakkan memilih peguam yang menyerahkan semua urusan kesnya kepada staff mereka semata-mata.
Bukan apa, ada juga berlaku penyelewengan itu dilakukan oleh staff peguam tersebut sedangkan peguam sendiri tidak tahu. Sebaiknya pilihlah peguam yang turut sama menguruskan fail urusan kes anda dan tidak menyerahkan semuanya kepada staf mereka.

5. Sebaik-baiknya pilihlah peguam yang dikenali oleh ramai orang awam. Sama ada peguam tersebut selalu muncul di media massa atau selalu muncul dimedia sosial berkongsi sesuatu yang baik dan bermanfaat dengan masyarakat.
Kerana apabila selalu muncul di khalayak awam, sudah pasti mereka perlu jaga nama baik dan reputasi mereka kerana mereka dikenali oleh orang ramai. Jadi tak kan lah mereka sanggup menyeleweng kerana ia akan menjejaskan reputasi dan nama baik mereka.

6. Kalau boleh pilihlah peguam yang terlibat secara lansung secara aktif dengan sesuatu persatuan, NGO atau pertubuhan yang memperjuangkan isu-isu masyarakat.
Ini kerana apabila mereka memperjuangkan nasib masyarakat, sudah pastilah mereka juga akan memperjuangkan nasib anak guam mereka dan melindungi hak dan kepentingan anak guam mereka.
7. Janganlah memilih peguam hanya sekadar melihat kepada kos guaman mereka semata-mata. Dalam erti kata lain hanya pilih peguam yang caj yuran guaman murah sahaja.
Sebaliknya pilihlah peguam yang komited dan anda yakin betul-betul mampu menjaga hak dan kepentingan anda. Kos guaman urusan hartanah kebanyakannya adalah sama antara satu peguam dengan peguam yang lain.

8. Jangan pilih peguam dengan hanya semata-mata berdasarkan keadaan luaran peguam atau firma guaman mereka sahaja.
Misalnya pilih peguam yang ramai staf, atau ada staf cantik, atau ada ofis yang cantik dan sebagainya.
Sebaliknya kenali lah peribadi peguam anda dan sejauh mana komitmen mereka terhadap tanggungjawab yang diberikan.

9. Bina lah hubungan sebagai kawan dengan peguam anda supaya wujud keserasian antara kedua-duanya. Kalau awal-awal anda rasa ada keserasian dengan peguam tersebut, bolehlah diteruskan. Jika tidak carilah peguam lain walaupun peguam tersebut memenuhi ciri ciri di atas.

10. Akhirnya jangan lupa berdoa kepada Allah Taala agar ditemukan dengan peguam yang baik dan beriman dalam urusan hartanah anda.
Peguam tak hensem tak apa. Janji beliau beriman dan berakhlak mulia.

Tips ini hanyalah pandangan peribadi saya semata-mata. Ianya mungkin berbeza-beza antara seseorang dengan seseorang yang lain.
Hakikatnya urusan memilih peguam ini sangat subjektif. Sama seperti memilih pasangan hidup juga.
Pendek kata anda hanya boleh berusaha untuk memilih peguam hartanah yang anda rasa terbaik untuk anda dan mematuhi kriteria di atas. Selebihnya berdoa dan bertawakal lah kepada Allah.
Kalau nak terkena juga apa boleh buat walaupun anda telah berusaha sebaik mungkin untuk memilih peguam hartanah terbaik. Sebab segala ketentuan dalam hidup kita ini Dia yang menentukannya. Ada hikmah di sebalik sesuatu ujian tersebut.

Sekian, Terima kasih.

Ikhlas dari hati,
SALKUKHAIRI ABD SUKOR 
Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)

No comments:

Post a Comment